Friday, January 21, 2011

BAHASA ISTERI YANG PERLU DIFAHAMI SUAMI

بسم الله الرحمن الرحيم

Ahmad Baei Jaafar

Tanpa komunikasi yang betul keserasian rumah tangga sukar diwujudkan. Sikap isteri dalam keadaan tertentu sukar difahami suami. Dia akan terus berteka-teki dalam perkara itu namun tidak mahu berterus terang. Apabila isteri melakukan sesuatu perkara selalu disalahtafsirkan.

Mereka ini walaupun berkahwin setelah melalui proses perkenalan yang panjang, namun peluang yang ada itu tidak digunakan untuk saling mengenali hati budi masing-masing. Mereka terlupa untuk mempelajari kaedah komunikasi yang berkesan sebagai suami isteri.

Walaupun mereka bertunang bertahun-tahun, namun mereka tidak sempat untuk menilai apakah antara mereka ada perbezaan yang boleh saling lengkap melangkapi. Mereka terlupa untuk melihat keserasian pasangan secara lebih jelas.

 Biasanya waktu berkawan mereka terlalu enjoy, hendak seronok sahaja. Semua yang ada pada kekasih masing-masing dilihat indah walaupun buruk. Pada waktu bertunang pula mereka asyik berbincang soal persiapan fizikal sahaja. Padahal jika mereka mengambil puluang itu untuk mengenali peribadi, perwatakan, dan isi budi masing-masing adalah lebih bermanfaat.


Sebenarnya, sewaktu berkawan dan bertunang adalah waktu terbaik untuk mereka mengenali semua itu. Mereka harus mengenali cara pasangannya bercakap, cara dia bertindak dan sebagainya. Semua yang dilakukan itu melambangkan sikapnya sebenar. Jika mereka benar-benar faham, banyak yang boleh diatasi semasa berkahwin.



Kesan daripada tidak faham kaedah komunikasi yang berkesan itu, banyak pasangan yang berkahwin mengalami krisis. Sikap isteri tidak difahami oleh suami hingga kadang-kadang perkara kecil menjadi besar. Dalam ruang ini saya cuba paparkan sikap isteri yang seharusnya suami tahu dan bertindak bagi mengatasinya.


1. Waktu merajuk

1 - Sikap: Tiba-tiba tak mahu bercakap
Maksudnya: Dia tidak suka dengan tindakan suami sebelum itu
Mengatasinya: Berterus terang maksud tindakan, jika perlu minta maaf

2 - Sikap: Tiba-tiba marahkan suami
Maksudnya: Dia cemburu dengan tindakan suami
Mengatasinya: Perlu selidek puncanya, mungkin salah sangka. Jika pasti, berterus terang, bukan menipu

3 - Sikap: Tiba-tiba menangis
Maksudnya: Dia sakit hati dengan tindakan suami
Mengatasinya: Beri penjelasan isu yang ditimbulkan. Beri keyakinan tentang kasih sayang.

4 - Sikap: Tidak mahu memberi khidmat
Maksudnya: Dia sungguh kecewa dengan sikap suami
Mengatasinya: Nilai semua kesilapan suami, dan betulkan semula apa yang tidak disenangi. Jika masih tidak mahu menerima, tinggalkan dia di rumah untuk memberi ruang dia berfikir


Suami yang tidak memahahami sikap isteri di atas akan bersangka buruk terhadap isterinya malah ada yang menuduh isteri curang.


2. Waktu gembira

1 - Sikap: Dia sudah rajin masak
Maksudnya: Tindakan suami sebelum itu menyenangkan hatinya
Mengatasinya: Teruskan sikap itu, jika perlu puji kerajinannya

2 - Sikap: Dia tidak banyak soal waktu kepulangan suami
Maksudnya: Dia puas hati dengan tindakan suami
Mengatasinya: Ucapkan terima kasih kepada isterinya dan menten keadaan itu

3 - Sikap: Dia siap untuk tidur awal
Maksudnya: Dia sudah akur dengan kehendak suami
Mengatasinya: Belajari sikap dan pengalaman manis itu untuk tidak mengulangi kebencian isteri

4 - Sikap: Dia bercakap dengan nada manja
Maksudnya: Dia mahu suaminya bersikap seperti itu juga
Mengatasinya: Hargai sikap isteri dan jauhi dari sikap kontra


Suami yang tidak faham dengan tindakan isteri akan terus menyangka isterinya ada udang di sebalik batu. Akhirnya suami tidak bertindak yang sewajarnya.


3. Waktu benci
1 - Sikap: Kehendak suami tidak dilayan
Maksudnya: Dia mahu suami mengubah sikap yang buruk
Mengatasinya: Baiki kesilapan bukan mempertahankannya

2 - Sikap: Tidak mahu bercakap apabila ditanya walaupun dengan baik
Maksudnya: Dia memprotes sikap suami yang tidak istiqamah berbuat baik
Mengatasinya: Menilai sikap diri mana yang buruk dibuang dan yang baik diperbanyakkan

3 - Sikap: Makan tidak selera
Maksudnya: Dia mahu simpati daripada suaminya
Mengatasinya: Suami perlu melihat masalah isteri dan cuba selamatkan. Tetapi jangan sampai melanggar syariat

4 - Sikap: Tidur seorang diri
Maksudnya: Dia mahu suaminya bertanggungjawab kepada dirinya
Mengatasinya: Suami perlu menilai kelemahan diri dan cuba membaiki kekurangan itu demi kasih sayang


Oleh sebab tidak faham tindakan isteri suami terus marah kepada isteri. Dan atas sikapnya yang tidak sabar itu mereka bergaduh. 



4. Waktu mengharap
1 - Sikap: Muka masam
Maksudnya: Apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan
Mengatasinya: Bertanya sebab dan cuba atasi kehendaknya

2 - Sikap: Meminta maaf sambil menangis
Maksudnya: Dia benar-benar insaf
Mengatasinya: Terimalah seadanya dia, dan selepas memaafkannya, nasihatkan berdasarkan kehendak Islam dan apa yang anda mahu

3 - Sikap: Melihat sesuatu barangan dalam tempoh yang lama dan memujinya
Maksudnya: Dia hendak meminta suami membelinya
Mengatasinya: Suami perlu memberi pertimbangan sewajarnya sama ada untuk membelikannya atau tidak


Contoh sikap isteri yang dipaparkan ini mungkin tidak bermaksud begitu, tetapi sebagai suami, tindakan isteri perlu dikaji dengan teliti. Kadang-kadang yang tersurat tidak sama dengan yang tersirat. Beruntunglah mereka yang boleh menilai dengan tepat. Tetapi yang paling penting semua yang berlaku harus disangka baik. Nanti yang negatif akan menjadi positif.

Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah








~ DENGARLAH WAHAI SUAMIKU...KATA HATI SEORANG ISTERI

1. Selalulah menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.

2. Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil tu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.


3. Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan/cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih daripada emak anda.


4. Jangan demand seks sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.


5. Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih daripada suami juga. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing-berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.

6. Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relak-relak sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dan sebagainya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila kami tak cukup tangan nak menguruskan rumah tangga sedangkan suami lepas tangan.

7. Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk untuk isteri. Jangan bedal semua, sampai giliran isteri yang tinggal ekor ikan sekerat, janggut sotong, ekor tauge.


8. Kalau nak ajak member ke rumah, beritahu isteri dulu, kalau boleh sehari-dua lebih awal. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi segera saja (bukan soal malas masak tapi nak tolong jimatkan perbelanjaan keluarga)


9. Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.

10. Jangan _________ depan isteri. Hairan ya, masa bercinta dulu kenapa boleh kontrol _________?


11. Hormatilah ibu-bapa dan ahli keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.
12. Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumah tangga. Sekali atau berkali-kali kala tolonglah membeli minyak masak, bawang, lada, sayur dan sebagainya.


13. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami ''degil'' tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong (lainlah kalau anda kahwin dengan perempuan kedekut!.

14. Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Dah buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, dah cungkil gigi, buanglah dalam bakul sampah, bila dah guna ubat gigi, bubuh, balik penutupnya, dah ambil sesuatu barang, simpan balik di tempat asal. Susah sangat ke?


15. Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah/menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.

 16. Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Mereka pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.


17. Jangan main kayu tiga. Main lain lagi tak boleh. Kalau isteri anda yang buat, tentu anda tak boleh nak bertolak ansur. Jadi mengapa isteri anda kena bertolak ansur kalau anda buat?
18. Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuk-lah anda mengambil berat tentang dirinya.


19. Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumah tangga. Jangan buat apa yang isteri tak suka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali.


20. Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbang rasa dan saling menghargai. Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.

21. Jangan buat tak tahu kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu pujuk, pujuk. Hati orang perempuan ni sensitif. Kalau isteri rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris. Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri. Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja. Kalau kita orang semua pakat mogok, anda juga yang rugi!!!


5 comments:

  1. LIKE THIS!!nak share kt fb bleh x??hihihi.. :)

    ReplyDelete
  2. xpe Rossa, share je, no hal punyer.hehehehe

    ReplyDelete
  3. apabila saya membaca entry ini spt nya ia "very well" dengan saya..kerana ini lah yg saya hadapi dulu bersama seorang lelaki bergelar suami...sudah ku tamatkan keperitan itu dengan perpisahan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. banyakkan bersabar kakak, semoga pengalaman kakak itu juga menambahkan kematangan dlm kehidupan ini...

      Delete