Tuesday, November 07, 2023

Siapa Syeikh Ahmed Yassin?





Nama penuhnya Sheikh Ahmed Ismail Hassan Yassin, merupakan pemimpin gerakan HAMAS (Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah) yang bermaksud "Gerakan Pembebasan Islam" (The Islamic Resistance Movement in Palestine). Beliau tidak punya daya, duduknya sahaja di atas kerusi roda. Hanya kepalanya sahaja yang mampu menoleh bergerak ke kiri dan ke kanan. Tetapi, saat menatap wajahnya, biarpun di dalam gambar sahaja, terpancar ketenangan yang luar biasa. 

Anaknya, Abdul Ghani pernah menceritakan saat beliau membantu ayahnya, Syeikh Ahmed Yassin  yang telah hilang kudrat menggerakkan kedua-dua belah tangannya dengan membantunya menyelak lembaran al-Quran yang dibacanya, tiba-tiba Abdul Ghani tertidur kerana terlalu mengantuk. Lalu ketika anaknya Abdul Ghani tersedar, beliau mendapati ayahnya masih meneruskan bacaan al-Quran dengan menyelak Al-Quran menggunakan gigi dan lidahnya.



Syeikh Ahmed Yassin adalah simbol pejuang Islam yang besar di zamannya. Beliau adalah tuan guru dalam catatan sejarah umat manusia yang paling menonjol, gah dan agam, di mana pemimpin yang cacat fizikalnya mampu mengubah kelemahan menjadi kekuatan kepada rakyat Palestin. Di mata Eropah bersatu, Kanada, Jepun, Israel dan Amerika mereka mendefinasikan kewujudan Syeikh Ahmed Yassin sebagai tokoh terroris, tetapi di mata kami beliau adalah tokoh pejuang Islam yang semangatnya masih hangat membakar di jiwa anak-anak muda umat Islam.

Dr. Abdul Aziz ar-Rantisi (1947-17 April 2004) yang gugur syahid sebulan setelah kematiannya menegaskan bahawa Syeikh Ahmed Yasin telah memimpin rakyat Palestin agar tidak menyerah pasrah, melintang arah dan berputus asa menentang penjajahan Israel. Perjuangannya dibeli oleh Allah Taala dengan harga yang sangat mahal, insan yang mengalami penyakit lumpuh itu menjadi perhatian dan ancaman terbesar rejim Israel sehingga pesawat Apache dikirimkan untuk menghapuskan jasadnya.




Akal manusia yang naif beralasan, lazimnya seseorang individu yang dikehendaki Israel adalah seorang yang kuat fizikalnya, berapi-api pidatonya, aktif, memobilasi kekuatan di setiap penjuru benua. Tetapi keadaan yang sebaliknya dilihat pada Syeikh Ahmed Yassin. Beliau dilahirkan dengan tubuh yang sempurna tetapi mengalami kemalangan teruk pada zaman mudanya sehingga menyebabkan kakinya lumpuh dan berkerusi roda. 

Dari sudut akademik pula, pandangan kasar manusia pasti merasakan status pendidikan yang dimiliki Syeikh Ahmed Yassin tidak seharum tokoh-tokoh lain yang mewarisi gelaran Professor, Doktor, Ir. (Engineer) dan sebagainya. Kerana, pengajian Syeikh Ahmed Yassin tidak dapat disempurnakan dengan jayanya ketika beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams, Kaherah rentetan penglibatannya di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan sewaktu rejim Hosni Mubarak berkuasa di Mesir. Akibatnya beliau dihantar pulang ke Palestin tanpa pengiktirafan dan ijazah.


Sungguhpun demikian pengalaman beliau di dalam gerakan Ikhwanul Muslimin, Syeikh Ahmed Yassin menemui kaedah perjuangan Islam yang dicarinya. Metodologi dakwah binaan Imam Hassan Al Banna itu disifatkan cerminan perjuangan para Nabi dan Rasul, baik dari sisi ideologi mahupun pandangan siasah, terutamanya dalam usaha mengkaderkan generasi-generasi yang bakal membebaskan Palestin dan menyelamatkan Aqsa kelak. Maka, sejak 1955 lagi para pemuda Palestin berbaiah dengan Syeikh Ahmed Yassin untuk menjayakan dokongan Ikhwanul Muslimin antarabangsa membebaskan Palestin.

Di Palestin, selain berperanan dalam sektor tarbiyah, beliau turut aktif dalam medan dakwah fardhiyyah. Beliau bertugas sebagai guru bahasa Arab dan khatib di sekitar masjid-masjid di Gaza. Sekalipun tidak terkenal seperti selebriti-selebriti agama di media televisyen, populariti beliau terus melonjak terutamanya ketika beliau menyampaikan khutbah selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.


Berdasarkan terjemahan, berikut adalah petikan-petikan ucapan beliau yang mengugah perasaan masyarakat Arab Palestin dan umat Islam umumnya;

"Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah lumpuh. Aku bukan pemidato yang lantang, yang mampu menggegarkan di seluruh pelusuk tempat dengan suaraku yang perlahan ini. Aku tidak mampu untuk ke mana-mana memenuhi hajatku kecuali jika mereka (pembantu) menggerakkan kerusi rodaku.

"Aku hanyalah seorang tua yang sudah beruban putih dan berada di penghujung usia. Aku yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan fizikal.

"Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang tertimpa ke atasku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah. Adakah kalian semua begitu wahai Arab, kalian diam membisu dan lemah, ataukah kalian telah mati binasa..."




Semangat Syeikh Ahmed Yassin ini kemudiannya diterjemahkan dengan hasrat penubuhan HAMAS yang turut ditemani sahabat perjuangannya seperti Dr. Abdul Aziz Rantissi, Ibrahim Maqdamah, Solah Syahadah yang telah mengasaskan HAMAS sebagai organisasi para-militari dan organisasi politik di Palestin pada tahun 1987. Matlamat utama penubuhan HAMAS adalah untuk membebaskan keseluruhan bumi Palestin daripada penjajahan rejim Zionis.

Penubuhannya berbeza dengan PLO (Palestine Liberation Organitation) atau di dalam bahasa Arabnya,  Munazzamat at-Tahrir al-Filastiniyyah yang sering bersikap lunak terhadap rejim Zionis. Walaupun idea penubuhan PLO itu diawali oleh peranan efektif Mufti Palestin, Al Hajj Amin Husaini (1897-1974) yang menyatukan bangsa Arab menentang rejim Israel. Tetapi lama-kelamaan pertubuhan PLO yang diterajui Yassir Arafat (1929-2004) ibarat burung merpati yang hanya mampu terbang di dalam sangkar, kemudian menagih sesuap umpan dari luar sangkarnya.

Pada awalnya, Israel memang khuatir dengan penubuhan PLO kerana keberkesanannya mampu menggugat kedudukan wilayah haram Israel. Namun kegerunan itu semakin hilang apabila PLO mulai bersikap 'jinak' dengan kuasa autonomi yang ditawarkan oleh Israel. Perjuangan PLO kemudiannya diteruskan oleh proksi "kebangsaan" Arab FATAH (Harakat al-Tahrir al-Watani al-Filistini) - Palestinian National Liberation Movement. Sekarang perjuangan mereka hanyalah mahu membebaskan sebahagian kecil bumi Palestin dan lebih berideologikan nasionalis.

Di saat semangat kebangsaan cuba mencabut roh Islamiyyah di jiwa umat Islam Palestin, Sheikh Ahmed Yassin bersama rakan-rakannya bangkit memikul tanggungjawab secara terancang dan sistematik. Gerakan yang dibawa oleh Sheikh Ahmed Yassin bermula dari kerukunan masjid sehinggalah bercambah ke beberapa institusi penting masyarakat seperti sekolah-sekolah hinggalah ke pusat pengajian tinggi. Perjuangan Syeikh Ahmed Yassin di dalam HAMAS dianggap sebuah organisasi yang meneruskan karismatik perjuangan Syeikh Izzuddin Al Qassam, seorang tokoh Arab yang menentang Inggeris di medan jihad Palestin pada tahun 1935.


Pada tahun 1989 ratusan anggota pergerakan HAMAS telah dipenjarakan kerana kejayaan operasi yang telah dilancarkan sayap kanan gerakan tersebut, Kataib Al Qassam (Al Qassam Bridge) membunuh komando-komando Israel. Keadaan tersebut menjadi semakin kritikal apabila Syeikh Ahmed Yassin turut dipenjarakan di sel rejim Israel. Kesan penahanan itu menyebabkan beliau mengalami lumpuh seluruh tubuh sehingga hilang penglihatan pada sebelah mata bahagian kanan dan kekaburan di sebelah kirinya.

Akibat tekanan dan deraan yang berterusan dikenakan rejim Israel ke atas Syeikh Ahmed Yassin, beliau menghidapi jangkitan pada paru-parunya sehingga memaksa pihak penjara membawa beliau berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Peristiwa yang menyayat perasaan itu menyebabkan sejumlah besar masyarakat Palestin di dalam dan luar negara celik mata dan bangkit menuntut supaya rejim Israel membebaskan Syeikh Ahmed Yassin yang dianiaya.

Keengganan rejim Israel untuk memenuhi desakan rakyat Palestin pada ketika itu, menyebabkan Kataib al-Qassam menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran tentera tersebut dengan pembebasan Syeikh Ahmad Yassin, tetapi rejim Israel tidak tawar hati untuk bersetuju dengan pertukaran tersebut.

Bagaimanapun pada tahun 1997, pembebasan Syeikh Ahmed Yassin menjadi kenyataan hasil dari pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis. Peristiwa kejayaan ini bermula apabila Kerajaan Jordan memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis (MOSSAD) ketika mereka gagal dalam percubaan membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mesha'al di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, rejim Zionis bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan.


Pembebasan Syeikh Ahmed Yassin ketika itu telah membawa gelombang kedua Intifadah pada September 2000, lanjutan daripada Intifadah pertama pada Disember 1987. Gelombang kedua ini bertujuan mengajak rakyat Palestin bangkit menentang rejim Zionis yang telah mengotori Masjid Aqsa. Impak Intifadah ini amatlah dirasai Israel yang akhirnya mereka merangka pelbagai usaha untuk mengekang kemaraan rakyat Palestin melangkaui batasan kemanusiaan. Antara strategi jahat mereka ialah dengan menyerang bandar, membunuh orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang termasuklah pemimpin Palestin. 

Bertitik-tolak daripada Intifadah kedua inilah syahidnya Sheikh Ahmad Yassin. Tiga bedilan peluru berpandu helikopter Apache telah dilancarkan tentera zionis kepada Syeikh Ahmed Yassin yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari masjid sejurus menunaikan solat subuh. Salah satu daripada peluru berpandu itu tepat menuju ke kepala beliau sehingga beliau syahid, termasuklah dua orang pembantu yang menolak kerusi rodanya.


Serpihan anggota badan dan darah berhamburan di segenap penjuru kawasan. Di tengah perjalanan antara rumah Syeikh Ahmed Yassin dan masjid beberapa ratus meter jaraknya, darah kelihatan di merata tempat dan cebisan daging manusia melitupi dinding sebuah rumah dua tingkat di Timur jalan. Pihak ambulans dan penduduk tempatan bersama-bersama mengutip dan mengumpulkan cebisan anggota manusia di jalanan dan di atas bumbung beberapa buah rumah berhampiran.

Kerusi roda yang dinaiki beliau hancur musnah dan dipenuhi darah. Syahidlah seorang lelaki tua berkerusi roda bernama Syeikh Ahmed Yassin, beliau telah pergi dengan meninggalkan kita dengan seribu satu kebanggaan.



"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang mati; bahkan mereka itu orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya." (Al-Baqarah:154)


22 Mac 2004, tarikh inilah seorang tokoh pejuang Palestin pulang menyahut seruan Ilahi, namanya Syeikh Ahmed Yassin.

Kredit: Mohd Azmir bin Maideen













No comments:

Post a Comment