MY FOLLOWER YANG CUTE, CANTIK DAN COMEL. Terima kasih kerana follow (^_^)

~WARNING : THIS SITE CONTENT MORE PHOTOS LEAST WORDS INCLUDE CURRENT ISSUES SUCH AS ISLAMIC, MOTIVATION, CONTROVERSY, SENSITIVE ISSUES, POLITICAL, SECRET, SOCIAL, EDUCATION and PERSONAL MATTER~

Tuesday, March 16, 2021

RAHSIA KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN BERKESAN DALAM ORGANISASI


RAHSIA KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN BERKESAN DALAM ORGANISASI

Pengertian Kepimpinan

Menurut Kamus Dewan (1996), kepimpinan bermaksud keupayaan memimpin iaitu melalui teladan. Maksud kepimpinan dalam pentadbiran awam menurut Kamus Dewan (1996) pula ialah sifat pentadbir yang mengurus sesuatu organisasi ke arah sesuatu matlamat tertentu. Kepimpinan merupakan elemen penting dalam menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu organisasi. Kepimpinan memerlukan kepakaran mengurus dan kemahiran teknikal tertentu untuk menggerakkan kakitangannya bekerja dengan penuh tanggungjawab selari dengan kerangka dasar organisasi.



Sebuah kisah inspirasi tentang kepimpinan daripada kisah benar bagaimana T Kugan telah berubah nasib daripada seorang yang bekerja sebagai penghantar surat pejabat kepada seorang juruterbang Airbus A320, pernah menarik perhatian media sosial dan  kisahnya menjadi sumber inspirasi kepada ramai belia. Apa yang menarik perhatian ramai mengenai kisah T Kugan, masa depan beliau berubah berpunca daripada peranan yang diberikan oleh majikannya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang memberi peluang serta dorongan kepadanya untuk menjadi seorang juruterbang AirAsia. Pemimpin yang baik juga bukan sahaja dinilai pada bilangan pencapaian, tetapi berapa ramai ketua yang dilahirkan.


Menurut Kamus Dewan (1996), amanah adalah sesuatu yang dipercayakan kepada orang sebagai contoh diserahkan sesuatu untuk disimpan. Amanah adalah satu tanggungjawab yang diberikan sebagai satu prinsip untuk tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan pengaruh dan kuasa yang sedia ada (Mumtaz, Norzaini & Mohammed Sani, 2010).

Dari Abdullah, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan.
Seorang imam adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban.
Seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya dan ia akan dipertanggungjawabkan.

Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya, dan ia pun akan dipertanggungjawabkan.
Seorang belia juga pemimpin atas harta tuannya dan ia juga akan dipertanggungjawabkan.
Sungguh setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan. Setiap kalian adalah pemimpin. Seorang imam, seorang suami, seorang wanita, bahkan seorang belia. Semua adalah pemimpin”

Hadits Sahih Riwayat al-Bukhari: 4789

 

Kepimpinan adalah suatu peranan dan proses mempengaruhi orang lain. Pemimpin adalah sebahagian daripada ahli kumpulan yang diberi kedudukan tertentu dan dijangka bertindak sesuai dengan kedudukannya. Pemimpin juga seorang ahli dalam kumpulan yang diharapkan menggunakan pengaruh dalam melaksana dan mencapai matlamat kumpulan. Pemimpin yang amanah ialah seorang yang memimpin dan bukan seseorang yang menggunakan kedudukan untuk memimpin.

Pemimpin dan ahli - ahli dalam organisasi umpama pokok kelapa dan akar yang saling lengkap-melengkapi. Tanpa akar umbi yang kuat, pokok kelapa berkenaan akan tumbang. Tanpa pohon kelapa yang sihat, bahan fotosintesis daripada puncak pohon tidak dapat dialirkan ke seluruh pokok kelapa berkenaan. Seorang pemimpin perlu mempunyai kemampuan menguruskan organisasi dengan cekap pada tahap yang optimum dan effisien.

 

Pemimpin Dan Amanah

Setiap daripada kita adalah pemimpin. Setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab dan amanah yang wajib dilaksanakan seterusnya akan dipersoalkan di akhirat kelak. Jangan takut untuk memikul amanah kerana fitrah manusia dipertanggungjawabkan dengan amanah bermula sejak akhil baligh.

 

Amanah Dalam Kepimpinan

Sebagai pemimpin, kita akan dipertanggungjawabkan dengan pelbagai amanah yang berat dan akan dipersoalkan ketika di dunia dan juga di hari kiamat kelak. Hendaklah kita menjaga dan melaksanakan segala amanah kita, iaitu amanah kepada Allah S.W.T., amanah kepada Rasulullah SAW, amanah sebagai pemimpin, amanah sebagai ibu bapa, amanah sebagai suami isteri, amanah sebagai guru, amanah sebagai ketua organisasi, amanah sebagai pemimpin masyarakat, amanah sebagai anak, sehinggalah sekecil-kecil amanah sebagai tukang kebun dan sebagainya.

Amanah itu berat. Islam adalah agama yang sangat mengutamakan perkara-perkara amanah seperti firman Allah SWT dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” 

(Surah Al-Ahzab, ayat 72)

 

Ayat ini menjelaskan bahawa, sesungguhnya tanggungjawab amanah itu sememangnya amat berat, sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang yang besar tidak sanggup memikulnya. Tetapi, manusia telah bersedia untuk memikul amanah yang amat berat ini, sekalipun manusia itu memiliki serba kelemahan dan kekurangan.

Sesungguhnya beruntunglah orang yang amanah itu dengan sebaik-baiknya terhadap amanah yang dipikulkan kepadanya. Pesan dan peringatan Rasulullah SAW tentang makin berat amanah, maka besar pahala orang yang menjaga dan melaksanakan amanah berkenaan. Bekerja dengan menggunakan masa, tenaga dan akal demi untuk maslahat orang ramai menjanjikan pahala yang besar. Selama kita bekerja mencari rezeki dan diniatkan kerana mencari redha Allah, selama itu juga Allah akan mencucuri kita dengan pahala yang berterusan sehingga kita bekerja.

 

 

Syarat-Syarat Menjadi Seorang Pemimpin

Kepimpinan Rasulullah Sebagai Tauladan

Semua pemimpin umat Islam, wajar menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh pemimpin untuk diikuti. Nabi Muhammad SAW merupakan seorang pemimpin agung yang amat bersopan dalam bertutur kata, jujur, tidak pernah berdusta serta luhur budi pekertinya. Hal inilah yang membuat ramai yang mengagumi Baginda. Sehingga ke hari ini, Baginda SAW dikagumi ramai orang di seluruh pelosok dunia kerana keperibadian Baginda yang amat luar biasa.

Michael H.Hart di dalam bukunya ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History’ meletakkan Rasulullah SAW sebagai manusia paling berpengaruh di dunia di kalangan 100 orang manusia paling berpengaruh di dalam sejarah dunia.

Rasulullah SAW merupakan ketua negara Islam yang pertama. Baginda Rasulullah turut mendaulatkan hukum Allah, menegakkan keadilan, kebebasan dan ketelusan. Baginda turut menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran, membina perpaduan, menjamin keamanan dan keharmonian. Ini termasuk hukum yang berkaitan dengan aspek politik, pentadbiran, undang-undang, ekonomi, sosial, pendidikan, kekeluargaan dan lain-lain.

Dalam aspek politik dan pentadbiran, Rasulullah SAW melaksanakan sistem pentadbiran secara syura iaitu secara perundingan dan mesyuarat seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Rasululullah juga arif tentang aspek undang-undang, bidang ekonomi serta aspek sosial dalam pentadbiran Baginda.  

Dalam merancang strategi peperangan juga, Baginda berbincang dengan para sahabat dan menerima pandangan sahabat tentang kedudukan yang paling strategik untuk para tentera Islam.

Jules Masserman, seorang ahli dalam bidang ilmu psikologi dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat dalam majalah Time edisi Julai 15, 1974, menegaskan:

“Pemimpin yang agung perlu melaksanakan tiga fungsi penting iaitu: memelihara kesejahteraan pengikut-pengikutnya, mewujudkan satu sistem sosial yang selamat dan terjamin serta menanamkan satu nilai kepercayaan yang dapat dijadikan panduan seterusnya dikuti. Tokoh-tokoh terkenal seperti Pasteur dan Salk telah dapat memenuhi fungsi pertama, manakala Alexander, Caeser dan Hitler pula berjaya memenuhi fungsi kedua. Namun Muhammad telah berjaya memenuhi ketiga-tiga fungsi kerana itu beliau adalah pemimpin yang paling hebat dalam sejarah.”

Untuk menjadi pemimpin agung dan dihormati, pemimpin perlu menerapkan empat  sifat mulia Baginda Rasulullah SAW di dalam diri iaitu :

i)  Siddiq – Benar (pada diri Rasulullah SAW, bukan hanya perkataannya yang benar, malah perbuatannya juga benar, yakni sejalan dengan ucapannya. Jadi mustahil bagi Rasulullah SAW itu bersifat pembohong, penipu dan sebagainya).

ii) Amanah - Boleh dipercayai (jika satu urusan diserahkan kepadanya, nescaya orang percaya bahawa urusan itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Apa pun yang baginda ucapkan, dipercayai dan diyakini penduduk Makkah kerana beliau terkenal sebagai seorang yang tidak pernah berdusta).

iii) Tabligh – Menyampaikan (segala firman Allah SWT yang ditujukan oleh manusia, disampaikan oleh Baginda. Tidak ada yang disembunyikan walaupun ianya menyinggung Baginda sendiri).

iv) Fathonah - Bijaksana. (rasul seorang yang berilmu tinggi, berwawasan jauh dan mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa terutamanya dalam menyampaikan ayat Al-Quran. Baginda amat bijaksana dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang wujud).

 

Gaya Kepimpinan

Gaya memimpin secara amnya terbahagi kepada empat jenis. Keempat-empat jenis gaya ini memberi dan menerangkan maksud yang berbeza untuk diaplikasikan semasa memimpin. Setiap pemimpin perlu menentukan gaya mana yang paling sesuai untuk dilaksanakan mengikut situasi semasa dan seorang pemimpin tidak hanya memilih satu gaya kepimpinan sahaja. Gaya-gaya tersebut adalah :-

1.    Gaya Autokratik.

2.    Gaya Demokrasi.

3.    Gaya Laissez-Faire

4.    Gaya Birokratik dan Diplomatik.

Antara ciri-ciri bagi gaya kepimpinan autokratik adalah bersifat seperti berikut:-

i.      Pemimpin bersifat pemerintahan satu hala dalam memastikan matlamat organisasi dan kelompok dapat dicapai.

ii.     Kesemua keputusan dan polisi kelompok hanya ditentukan oleh ketua dalam gaya memimpin tanpa mengambilkira pandangan atau idea daripada ahli kelompok.

iii.    Teknik yang digunakan dalam kelompok atau pasukan pula berbentuk arahan daripada ketua. Hanya ketua yang menentukan tugasan, kerja atau arahan.

iv.    Ketua tidak melibatkan diri dari penyertaan yang aktif dalam kelompok. Ketua sedia menggalas kesan daripada tindakan dan risiko yang diakibatkan oleh keputusan diputuskan oleh beliau.

 

Ciri-ciri bagi gaya Demokrasi pula adalah bersifat seperti berikut:-

i.       Membenarkan ahli pasukan menentukan keperluan, membuat perancangan tersendiri serta mengambilkira pandangan majoriti dalam memastikan matlamat organisasi dan kelompok dapat dicapai.

ii.      Berusaha untuk mengurangkan kekuasaan ketua dalam kelompok pasukan.

iii.     Cuba untuk mengambil bahagian yang sama rata dalam kumpulan.          Ketua lebih bersifat membimbing dan bukan hanya mengarah dalam gaya memimpin.

iv.     Ketua pasukan juga bersifat lebih menerima terhadap pandangan ahli pasukan.

v.      Ketua memberikan kebebasan majoriti ahli kelompok untuk menentukan kebanyakan keputusan dan mengambilkira pandangan atau idea daripada ahli kelompok.

 

Ciri-ciri bagi gaya Laissez-Faire pula adalah bersifat seperti berikut :-

i.       Memberi kebebasan sepenuhnya kepada ahli pasukan dalam membuat keputusan selama matlamat organisasi dan kelompok dapat dicapai.

ii.      Penyertaan ketua sangat minimum. Ketua tidak mengambil sebarang bahagian dalam aktiviti atau program.

iii.     Ketua jarang membuat kritikan atau cadangan melainkan ahli pasukannya bertanya kepadanya.

 

Ciri-ciri bagi gaya Birokratik dan Diplomatik.

i.       Ketua menjarakkan hubungan dengan ahli pasukan dalam memastikan matlamat organisasi dan kelompok dapat dicapai.

ii.      Semua urusan hanya urusan rasmi sahaja.

iii.     Gaya kepimpinan yang lebih kepada bersifat mengarah.

 

Kesimpulannya, setiap gaya kepimpinan yang dinyatakan di atas adalah perlu disesuaikan mengikut keperluan organisasi itu sendiri. Perkara yang paling utama oleh seorang pemimpin ialah, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk fokus dan mencapai matlamat pasukan serta organisasi.

Gaya kepimpinan yang pelbagai ini dapat diimplementasi dalam satu contoh senario bagaimana sebuah organisasi, yang dinamakan sebagai Syarikat Megah Holding berusaha untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan yang dihadapi. Pada suatu hari, Syarikat Megah Holding menghadapi masalah kemelesetan jualan syarikat dan menghadapi krisis pembuangan pekerja. Pemimpin syarikat atau ketua organisasi akan mengadakan mesyuarat bersama para pakar daripada pelbagai bidang bagi mencari jalan penyelesaian permasalahan yang berlaku. Gaya demokrasi digunakan untuk menggalakkan para ahli mesyuarat untuk menyusulkan idea, pandangan, permasalahan, cadangan penyelesaian serta risiko yang akan dihadapi oleh semua bahagian di dalam organisasi pihak luar kesan daripada keputusan yang diputuskan. Ketua organisasi mengambilkira pandangan majoriti pihak yang terlibat.

Ketua organisasi akan menggunakan gaya autokratik berdasarkan kepakaran, ilmu serta pengalaman beliau untuk memilih pilihan yang menurut pendapat beliau adalah yang paling terbaik walaupun mungkin wujud risiko tertentu bagi setiap keputusan yang diambil. Pemimpin menggunakan gaya kepimpinan Laissez-Faire dalam memberikan kebebasan kepada ahli organisasi bekerja selama matlamat organisasi dapat dicapai. Pemimpin turut mengimplementasi gaya Birokratik dan Diplomatik dalam sesesetengah situasi untuk memberikan peluang kepada pemimpin memberikan lebih penumpuan dalam mencapai matlamat organisasi dan menyelesaikan permasalahan yang mungkin wujud. Kebijaksanaan pemimpin turut penting dalam meramalkan permasalahan yang mungkin akan muncul pada masa akan datang.

 

Ciri-Ciri Pemimpin Berpengaruh

Untuk menjadi seorang pemimpin yang berpengaruh, dihormati, berkarisma serta berkaliber memerlukan perancangan rapi, kerja keras, latihan dan usaha tanpa henti dalam tempoh masa yang panjang.

Antaranya :

1. Menjadi Diri Sendiri

Seorang pemimpin perlu berusaha menjadi pemimpin introvert. Kurang bercakap lebih banyak mendengar. Ini berbeza dengan sifat pemimpin yang ekstrovert biasanya banyak bercakap tetapi kurang mendengar.

2. Mempunyai Wawasan Dan Sentiasa Bercakap Dengan Visi

Pemimpin yang hebat sentiasa fokus kepada wawasan serta mempunyai visi dan masa hadapan. Pemimpin perlu meletakkan visi yang mempunyai hala tuju, tujuan dan motivasi yang sangat jelas dalam memastikan organisasi tidak tersasar daripada matlamat utama. Pemimpin yang hebat juga seumpama panglima perang yang sentiasa mempunyai perancangan yang teliti, rapi dan strategik di samping berilmu tinggi serta berpengalaman. Contohnya, Prinsip Seni Peperangan Sun Tzu's The Art of War” yang diasaskan oleh seorang lagenda jeneral peperangan purba berpangkat tinggi  China, Sun Tzu, sering diaplikasi dalam kaedah pentadbiran ramai pemimpin berpengaruh dunia.

 

3. Bercakap Benar Dan Tidak Hipokrit

Rasululllah SAW selalu bercakap benar sebelum menjadi seorang nabi dan rasul. Oleh itu, kaum Quraisy di Makkah mempercayai baginda SAW. Oleh itu, perbaiki diri dengan berpandukan Al-Quran dan sunnah. Jangan hipokrit iaitu hanya pandai bercakap, tetapi tidak buat. Rasulullah SAW mempunyai nilai intergriti terbaik melalui akhlaknya.

 

4. Utamakan Pencapaian Dan Bersifat Rendah Hati

Untuk mencapai matlamat, jangan mudah mengalah dan bersifat rendah hati. Ketua yang berasa diri hebat dan sombong akan berhenti belajar, tiada inovatif dan tidak melihat perkembangan semasa untuk berubah ke arah yang lebih baik.

 

5. Menjadi Orang Terakhir

Seorang pemimpin yang dihormati sangat prihatin dengan ahli di dalam organisasi. Ketua yang prihatin akan mendahulukan pekerjanya untuk ganjaran dan kebajikan sebelum dirinya. Ia akan menambahkan kepercayaan orang bawahan terhadap ketua tersebut. Ketua juga sanggup berkorban dan mengambil risiko untuk menyelamatkan pekerjanya. Contohnya, kisah Ali RA berlindung di belakang Rasulullah SAW ketika Perang Badar, sedangkan baginda SAW paling dekat dengan musuh.

 

6. Cepat Buat Keputusan Dan Proaktif

Pemimpin perlu bijak dan cepat membuat keputusan berdasarkan sebahagian maklumat yang diperoleh seperti ketika menghadapi krisis kewangan, tenaga kerja, teknologi, kepakaran serta masa. Pemimpin perlu tangkas dalam mendapatkan maklumat ringkas dan tepat walaupun menghadapi mempunyai sumber yang terhad, kemudian segera membuat keputusan untuk terus maju ke hadapan.

 

7. Komunikasi Berkesan dan Bersegera

Seorang pemimpin perlu mahir dalam berkomunikasi seperti dalam menyampaikan arahan. Elemen visual, auditori serta kinestetik memainkan peranan penting. Pemimpin yang bekerja keras dan cepat berkongsi data serta maklumat, dapat membantu melancarkan pemimpin dan organisasi untuk segera bertindak dalam mencapai matlamat bersama.

 

8. Saling Menjaga Hubungan Ahli Di Dalam Organisasi Dan Bersama-Sama Mencapai Matlamat

Pemimpin yang hebat wajib mempunyai pasukan-pasukan kuat yang menyokongnya, diperkuatkan pula dengan rangkaian organisasi sokongan yang luas. Pemimpin yang hebat sentiasa prihatin dan saling mengambil berat tentang ahli-ahli dalam organisasi dan mewujudkan persekitaran seumpama keluarga yang besar dalam organisasi. Apabila wujudnya semangat kecintaan dalam kalangan ahli organisasi terhadap organisasi, secara tidak langsung akan membangkitkan semangat serta motivasi kepada ahli organisasi untuk bekerja seterusnya mencapai matlamat bersama-sama.

Antara rahsia kejayaan para pemimpin terkenal di dunia ialah turut membuka peluang kepada ahli dalam organisasi memberikan pandangan, idea serta teguran penambahbaikan sesuatu organisasi serta cara kepimpinan pemimpin mereka ke arah yang lebih baik, kerana ahli di dalam sesuatu organisasi adalah antara sumber terdekat yang paling peka dengan kepincangan sesuatu organisasi atau pemimpin. Untuk membina legasi, dengan adanya sokongan, idea pemimpin berkenaan dapat direalisasikan.

 

9. Adil Dan Sentiasa Memberikan Motivasi Dan Tunjuk Ajar

Seorang pemimpin yang hebat juga adil, sentiasa mengajar dan membimbing semua ahli dalam organisasinya. Sebagai ketua, perlu berani memberikan teguran dan memperbetulkan sesuatu perkara yang dirasakannya pincang demi untuk kebaikan organisasi. Ambil peluang bersama staf berkongsi maklumat dan membentuk mereka tidak mengira masa dalam usaha bersama-sama mencapai matlamat organisasi. Seorang pemimpin juga tidak perlu “kedekut” untuk selalu memberikan pujian, penghargaan dan motivasi kepada ahli organisasi kerana mereka turut menjadi aset kepada organisasi. Pemimpin perlu sentiasa peka dengan tahap motivasi ahli dalam organisasi dan sentiasa mengekalkan tahap motivasi ahli dalam organisasi. Tidak salah jika sekali sekala seorang pemimpin bertindak mnjadi seorang “kauselor” menjadi pendengar yang setia dan tempat curahan perasaan serta permasalahan ahli organisasi tanda mereka sentiasa dihargai malah disayangi yang secara sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan yang dipendam. Malah, mungkin seorang pemimpin boleh berusaha menghulurkan bantuan jika perlu walaupun sedikit sebagai tanda keprihatinan. Pemimpin yang agung juga, bukan sahaja dinilai pada bilangan pencapaian, tetapi berapa ramai pemimpin yang dilahirkan oleh pemimpin berkenaan.

 

Kesimpulan

Pemangkin Semangat Dan Kekuatan

Lumrah sebagai seorang manusia, dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan, acapkali sebenarnya, seorang pemimpin akan diuji dengan pelbagai ujian getir bertali arus yang tidak lagi tertanggung oleh dirinya, terasa terlalu penat, lelah, perit serta jerih. Seorang pemimpin juga memerlukan sokongan dan kekuatan daripada orang yang disayanginya seperti suami, isteri, keluarga, sahabat, ahli dalam organisasi dan orang di persekitaran supaya sentiasa kekal bermotivasi, tidak mudah berputus asa dan sentiasa kuat daripada segi mental mahupun fizikal.

Antara tiga perkara yang boleh mengembalikan kekuatan seorang pemimpin:

i.    Sentuhan seperti pelukan dan bersalaman dengan orang tersayang

ii.   Perlukan mentor atau guru yang boleh membimbing dan

iii. Sentiasa mendekatkan diri, memohon bimbingan, pertolongan dan keredhaan daripada Yang Maha Esa.

Untuk menjadi seorang pemimpin yang berpengaruh, dihormati, berkarisma serta berkaliber memerlukan perancangan rapi, kerja keras, latihan dan usaha tanpa henti dalam tempoh masa yang panjang.

Akhir kalam, bersama-sama kita laksanakan amanah yang dipikulkan ke atas kita, sebagai pemimpin dan jangan dikhianati amanah berkenaan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

 “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberikan kepercayaan kepada mu dan janganlah kamu mengkhianati seseorang yang pernah mengkhianati kamu”. 

(HR Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)

 

 “SETIAP DARIPADA KITA ADALAH ADALAH PEMIMPIN”

“JADILAH PEMIMPIN BUKAN BOSS”

 


 

 


No comments:

Post a Comment