MY FOLLOWER YANG CUTE, CANTIK DAN COMEL. Terima kasih kerana follow (^_^)

~WARNING : THIS SITE CONTENT MORE PHOTOS LEAST WORDS INCLUDE CURRENT ISSUES SUCH AS ISLAMIC, MOTIVATION, CONTROVERSY, SENSITIVE ISSUES, POLITICAL, SECRET, SOCIAL, EDUCATION and PERSONAL MATTER~

Monday, September 14, 2026

#cerpen SEBELUM TIRAI SEMESTER BERAKHIR: “ENCIK, SAYA DAH BERUBAH…” (Kisah Benar Taubat Seorang Pelajar Samseng)


Sebuah kisah benar. Sebuah lipatan sejarah yang terpahat kemas dalam lipatan memori seorang pendidik di sebuah bandar semasa beliau baru bertugas menjadi seorang pendidik. Ada parut dalam jiwa Encik Is (bukan nama sebenar) yang tidak pernah benar-benar sembuh. Tahun 2012 mengukir sebuah kenangan pahit—tentang seorang anak didik yang mengajarnya erti keikhlasan sebenar dalam dunia perguruan.

Pada awal pendaftaran, Nizam (bukan nama sebenar) adalah ujian terberat buat Encik Is. Berambut perang dengan gaya lagak ahli kongsi gelap, tutur katanya kurang ajar dan sentiasa mencabar kesabaran. Setiap kali masuk ke kelas, suasana jadi tegang umpama 'AIR dan API'.

Rakan-rakan membisikkan bahawa Nizam ada 'baju' (kumpulan gangster) yang melindunginya di luar. Encik Is hanya tersenyum sinis. Beliau faham gelora darah muda itu, kerana beliau sendiri pernah melalui zaman silam yang bergelora sebelum 'cuci tangan'.



Sehinggalah seorang pensyarah kanan menegur Encik Is secara halus:
"Mendidik ini kena sabar, berhikmah, dan ada kasih sayang. Bila ikhlas, baru dia sampai ke hati."

Kata-kata itu mengubah segalanya. Encik Is membuang watak 'guru garang'. Beliau mula memainkan peranan seorang bapa—tegas tetapi sarat dengan empati. Peliknya, walaupun berlagak samseng, Nizam tidak pernah ponteng kelas Encik Is. Seolah-olah jiwanya dahagakan perhatian. Encik Is kekal bersabar, kerana yakin hidayah itu milik Allah.

Ternyata, keikhlasan yang konsisten akhirnya meruntuhkan benteng keras hati Nizam. Selepas lebih setahun, Nizam berubah 360 darjah!

Melangkah ke semester terakhir, Nizam menemui Encik Is dengan wajah tunduk segan. Ucapan maaf tidak terluah dari bibirnya, tetapi pandangan matanya sudah cukup menyampaikan rasa penyesalan. Hari-hari berikutnya, Nizam berubah menjadi pelajar contoh. Dia fokus belajar, memulihkan hubungan dengan rakan-rakan, dan kerap mesej Encik Is bertanyakan tugasan. Nizam benar-benar mahu 'cuci tangan' daripada kejahilannya.

Namun, takdir Allah tiada siapa mampu menebak.

Beberapa bulan selepas penghijrahan indah itu, satu tragedi tragis berlaku. Selepas tamat kelas di satu hari yang renyai, Nizam tewas dengan provokasi dan terlibat dalam perlumbaan haram. Keretanya terbabas menghentam tiang elektrik. Stereng kereta menghempap dadanya, meletakkannya dalam keadaan terperangkap dan tidak sedarkan diri.

Pertolongan rakan-rakan bertukar ganti menjadi jeritan histeria apabila api mula marak dengan pantas. Tatkala Nizam membuka matanya, bahang api sudah pun menjulang membakar tubuhnya hidup-hidup. Di depan mata rakan-rakan yang terjelutut menangis meratapi ketidakupayaan mereka, Nizam pergi menghadap Ilahi dalam keadaan yang cukup menyayat hati.

Semasa ziarah takziah, ibu bapa arwah membocorkan satu rahsia yang menyebakkan dada. Beberapa malam sebelum kejadian, arwah mengadu badannya terasa amat panas sehingga tidak boleh tidur—sesuatu yang tidak pernah berlaku seumur hidupnya. Ibunya turut menambah, "Encik Is lah pensyarah yang paling Nizam hormat dan sayang..."

Mungkin Allah memberikan petunjuk halus bahawa ajalnya semakin hampir, lalu digerakkan hatinya untuk bertaubat sebelum dijemput pulang.

Pengajaran & Pesanan Keinsafan:

Buat Anak Muda: Pintu taubat Allah sentiasa terbuka luas, walau setinggi mana gunung dosa yang kita bina. Pulanglah ke pangkal jalan hari ini, sebelum lembaran hidup ditutup buat selama-lamanya.

Buat Para Pendidik: Jangan pernah jemu mendidik dengan kasih sayang. Kerana kadangkala, keikhlasan kecil itulah yang menyelamatkan satu jiwa sebelum tirai hayatnya tertutup rapat.

Al-Fatihah buat arwah Nizam (2012). Perjalanan hijrahmu singkat di dunia, semoga syurga abadi menantimu di sana.
- Hardy Boy, 2026




No comments:

Post a Comment